Sign In
portfolio web templates

Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardhu Asar Berjemaah Kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)

28/08/2025
https://www.mkkjr.gov.bn/Images1/2025/August/Ratib%20MKKJR/ratibmkkjr%20ogos2025.jpg

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardu Asar berjemaah pada petang ini bertempat di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat Zon 1, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Setiausaha MKKJR, ahli-ahli MKKJR, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan di bawahnya dan juga penduduk-penduduk Daerah Belait, serta guru-guru dan murid-murid Sekolah Ugama Ahmad Tajuddin, Kuala Belait.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Majlis ini adalah antara inisiatif berterusan MKKJR dalam memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar para pengguna jalan raya sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan kemalangan.  

Dalam kesempatan ini, MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya dengan mematuhi had kelajuan, selaras dengan tema Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan iaitu “Watch Your Speed, Watch the Road" yang dilancarkan pada 20 Ogos 2025.

Dalam hal ini, MKKJR juga menekankan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta mahupun masyarakat umum, demi melindungi nyawa serta kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

 

 

Disediakan oleh: 

​Urusetia MKKJR

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 

Negara Brunei Darussalam
mkkjr@mtic.gov.bn


Attachments